Setiap orang pernah menyimpan suara yang tak dapat dijelaskan — suara dari dalam, suara dari silam. Kisah ini saya tulis untuk siapa-siapa yang pernah hidup dalam diam, memikul sesuatu yang tak bernama. Moga ia menjadi ruang untuk melepaskan. Dan kalau belum sedia melepaskan, semoga ia menjadi tempat untuk duduk dan diam sebentar, bersama rasa itu.
– Asmah Hashim
BAB 1 - Auditorium Kosong
Petang itu, tepukan bergema memenuhi
auditorium Fakulti Kejuruteraan. Lina Azra berdiri di pentas, berjaket hitam
sederhana dan skrin di belakangnya memaparkan tajuk tesis:
“Prostetik
Interaktif dan Harapan Baharu untuk Mobiliti Insan.”
Dengan penuh perasaan, dia menyampaikan isi
kandungan tesisnya.
"Ketika
seorang manusia kehilangan kaki, dia tidak hanya kehilangan langkah.
Dia kehilangan
irama hidup, arah, dan kadang-kadang... harapan. Saya berdiri di sini hari ini
bukan hanya untuk bercakap tentang teknologi, tapi tentang peluang kedua. Prostetik
bukanlah sekadar alat gantian. Hari ini, saya ingin memperkenalkan apa yang
kami panggil sebagai:Prostetik Interaktif —sebuah sistem anggota palsu yang
tidak lagi pasif, tetapi hidup bersama penggunanya.
Bayangkan
tangan palsu yang tahu bila perlu menggenggam kuat,dan bila perlu sekadar
menyentuh halus.Bayangkan kaki palsu yang boleh memberi isyarat kepada otak
bahawa jalan yang dilalui tidak rata—lalu ia membetulkan langkah secara
automatik. Bukan sekadar mengikut arahan, tetapi membaca jiwa gerak tubuh
penggunanya. Dengan bantuan sensor saraf, AI yang belajar pola langkah, dan
aplikasi pintar, anggota ini menjadi teman perjalanan, bukan sekadar penyambung
tubuh.
Tapi saya tahu,
teknologi ini bukan penyelesaian kepada segalanya. Kosnya masih tinggi.
Aksesnya masih terhad.Dan mungkin... masih belum mampu menggantikan kehilangan
sepenuhnya. Namun... Jika manusia boleh diajar untuk berjalan semula, maka
manusia juga boleh diajar untuk percaya semula. Bahawa kehilangan bukan
pengakhiran. Tetapi titik mula untuk satu versi diri yang lain — mungkin lebih
tabah, lebih perlahan, tapi tetap bergerak.
Ini bukan sekadar projek kejuruteraan. Ini
adalah usaha untuk memulihkan manusia — satu langkah, satu denyut, satu peluang
pada yang masih mahu bangkit."
Dengan itu, Lina mengakhiri pembentangannya —
senyum di wajahnya tampak tenang… tapi ada sesuatu dalam matanya yang hanya
diketahui oleh bayang di belakang auditorium.
Sebaik saja mikrofon dimatikan, dan semua
orang mula keluar—dia tetap di situ. Berdiri. Lama. Tangannya menggenggam
kertas slaid yang hampir renyuk. Ruang mulai senyap. Cahaya dari lampu sorot
memantul di mata hitamnya,
dan dari sudut belakang dewan—antara kerusi
kosong yang bersusun— ada seseorang duduk, memerhati.
Seorang budak lelaki. Usianya belasan. Berbaju
putih lusuh. Seluar sekolah. Tanpa kasut. Dia tak tepuk tangan. Tak senyum. Dia
hanya memandang—dengan mata yang pernah Azra kenal.
“Adik?”
Dia berbisik. Suaranya nyaris tak terdengar. Azra
melangkah turun dari pentas.
Tapi apabila
dia tiba di lorong tengah auditorium itu—kerusi kosong itu…
kosong semula.
Esoknya, Azra menerima emel dari seorang
pengurus syarikat besar di luar negara:
"Your presentation was brilliant. We want you on board, Miss
Lina Azra. The future awaits."
Dia sepatutnya gembira. Tapi tangannya
menggeletar semasa menaip balasan.
Kerana dalam inbox yang sama, sebelum emel itu— ada satu
mesej tak bernama yang hanya bertulis:
“Kau dah lupa siapa yang tertinggal dalam
kebakaran itu.”
Kadang-kadang, bayang tak akan hilang. Tapi kita boleh ajar diri untuk hidup bersamanya. Bukan untuk dikuasai, tapi untuk belajar… bahawa walaupun kita tak sempurna — kita masih mampu mencintai, diampuni, dan hidup semula.
Jika anda sampai ke sini, terima kasih kerana membaca. Cerita ini bukan sekadar fiksi. Ia serpihan dari hati yang pernah retak, tapi kini cuba menyambung semula — perlahan-lahan.